Cendawan Tiram Kelabu
Cendawan adalah sejenis kulat yang senang tumbuh di negara-negara yang beriklim lembap. Iklim di Malaysia yang lembab sepanjang tahun bersuhu antara 25°C - 35°C dengan hujan sepanjang tahun menjadikan ia antara negara yang mudah untuk pertumbuhan kulat yang biasanya membiak pada batang-batang kayu reput. Kulat boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis beracun(tidak boleh dimakan) dan yang tidak beracun(boleh dimakan). Kulat cendawan jenis pengurai bahan reput(selulosa) tanaman kebanyakannya membawa nilai khasiat makanan dan kesihatan pada manusia. Ia mengandungi khasiat-khasiat penting seperti protein, vitamin, karbohidrat dan rendah lemak. Cendawan mempunyai kandungan kalori yang rendah dan serat yang tinggi. Selain itu ia juga mengandungi zat-zat galian yang penting untuk kesihatan manusia. Cendawan mempunyai kandungan protein dua kali ganda dari sayuran hijau. Ia sesuai dimakan oleh pesakit diabetis dan obesiti kerana ia rendah lemak.